Daging itu:Barah atau berkah ?


".....Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah keseluruhan jasad dan jika buruk, maka buruklah jasad keseluruhannya. Ingatlah bahawa daging itulah hati." -Rasulullah saw.

Hati. Seringkali orang berbicara tentangnya. Disebut qalbun dalam Bahasa Arab.

Qalbun itu, yang berbolak balik.

Hakikat hati manusia memang berbolak balik sifatnya. Maka kerana itulah terkadang kita ghairah meneruskan pencarian demi pencarian dalam hidup kita. Bersemangat, untuk terus naik setingkat demi setingkat dalam usaha mencapai darjat tertinggi di sisi Sang Khaliq.

Namun, terkadang kita merasa suatu kelemahan menarik kita jatuh. Dibadai angin jahiliyah, yang lansung memadam lilin tarbiyah.

Kita terkadang tersungkur. Lemah. Lesu. Kita terjelepok longlai tak lagi mampu meneruskan langkahan.
Atau bahasa 'ikhwah-akhawatnya' futur. 

Oh oh. Nak jaga hati memang mudah. Mudah di bibir. Heh.

Kerana hati, manusia jadi buta. Manusia hilang waras. Manusia bahagia, manusia derita. Semua angkara hati.
Berbalik pada tuan empunya hati, bagaimana dia mengisi ruang-ruang lohong dalam hati mereka. Dengan hiburan? Dengan lagu-lagu merosakkan hati? Dengan filem-filem tidak membina jiwa? Aha. Maka bukan salah Tuan Hati di atas sana jika kita tak mampu memecah masuk kedalam zon 'sabar' dan 'syukur' saat ujian membadai.

Menjaga hati, menuntut usaha semaksima mungkin. Tak mudah, memang tak mudah untuk sentiasa kekal berhammasah untuk mengorak langkah demi langkah kemudian berlari kencang di jalan ini.
Jalan penuh duri yang menjanjikan 1001 kepedihan dan kelukaan. Jalan tidak berturap yang penuh mehnah dan ujian.

Jaga hati, dari hilangnya ghairah untuk terus menapaki lorong tarbiyah ini.

Hidayah delivery?
Suasana, atau bi'ah sememangnya berperanan penting dan hal ehwal tarbiyah. Antara dua, mempercepat atau merencat.
Dibesarkan dalam suasana yang 'tidak soleh', sememangnya sedikit sebanyak mengganggu proses ini. Atau meracun mati proses tarbiyah dari bertunas dan tumbuh mekar.

Tapi tunggu.
Saya sendiri, bukan hidup dikelilingi ustaz-ustazah, ikhwah-akhowat, atau apa-apa nama lainnya. Membesar di celah kesibukan pusat bandar. 5 minit berjalan kaki dari rumah sudah memadai untuk ke Times Square, Bukit Bintang dan lain-lain.

Sejak zaman belum mumaiyiz sudah terbiasa dengan mereka yang tidak bertudung. Menginjak remaja, dikelilingi mereka yang berselendang ratusan fesyen, shawl berlilitan, turban ala Yuna, semua lengkap. Dah namanya perempuan, maka tipu kalau tak pernah ada keinginan menyertai mereka.

Tapi soal hidayah bukan semudah Pizza Hut Delivery. Call, 20 minit kemudian sampai di pintu rumah.

Ramai orang usaha sungguh-sungguh mencari jodoh. Katanya jodoh takkan datang sendiri, perlu dicari. Tapi hanya duduk bersilang panggung kalau bab hidayah. Alahai. Konsepnya sama. Jodoh, rezeki, hidayah, sama-sama perlu dicari. Ketiga-tiganya bukan pizza yang boleh dihantar sampai ke rumah bila-bila masa.

Kita perlu bergerak! Hidayah memang Allah yang beri, tapi selepas kita berusaha mencari!

Dan proses itu perlu dijamin kelansungannya. Tarbiyah bukan sebatas sekolah yang menyediakan sistem, tarbiyah itu di MRSM, SMK, SBP, di mana saja. Dan tak terhenti setakat 7 jam persekolahan, 3 minggu di asrama, tarbiyah itu digerakkan di mana pun kita berpijak. Pulang ke rumah, lepak di gerai makan, segalanya bertenun kemas dengan tarbiyah.

Tarbiyah bukan sebatas duduk berbulatan, makan setalam, tapi tarbiyah itu hatta anda tercampak ke sebuah pulau tidak berpenghuni!

Bukan setakat zaman bersekolah. Waima setelah keluar menyambung pelajaran di IPT yang tidak menyediakan sistem juga tanggungjawab menggerakkan tarbiyah itu terhempap di bahu. Takkan terangkat. Zaman bekerja, tarbiyah masih tetap berjalan. Berkahwin, lebih-lebih lagi.

Hidup untuk mati.
Pernah sekali meluahkan rasa lemah pada seorang murabbi, lalu dibalas : "nikmat kemanisan itu hanya didapati hasil kepahitan dan kesukaran yang sementara."

Memang sementara. Paling lama kita menahan perih jerih di medan ini pun hingga ke penghabisan umur kita.

Hayat kita paling lama sekitar 70 atau 80 tahun. Itu yang Allah izin umurnya panjang. Kalau yang baru menginjak 20-an dah dijemput pulang? Berapa tahun sangat kepahitan dan kesukaran yang kita rasakan, berbanding kehidupan selepas mati yang Allah janjikan?

Keseronokan selamanya.

Seorang senior di MATRI sering menyebut : "hidup untuk mati". Ya, kerana kehidupan dunia cuma transit untuk ke negeri akhirat. Dunia memang tempat bersusah-susah. Medan ujian tanpa henti. Ladang menuai benih keimanan, untuk dituai hasilnya pada kehidupan kedua nanti.

Maka teruskan mencari.
Mungkin ada yang telah bertemu bi'ah (suasana) yang diperlukan iman. Pakej dengan bulatan riang, murabbi hebat, gerabak yang kian hari kian ramai ikut naik.
Mungkin ada yang belum.

Yang sudah, fastaqim! Istiqamahlah dengan jalan ini.
Yang belum, gandakan usaha mencari.

Ada orang terpaksa siat kulit untuk buang tatu.

Sakit? Perit?
Tak pasti. Tapi boleh cuba.
Ambil seterika, panaskan ke darjah maksimum dan lekapkan pada kulit. 2 saat memadai.
Atau ambil pisau, hiris kulit anda.

Sakit?

Itu tatu di kulit.
Kalau tatu jahiliyah di hati?

Jawapannya pada diri sendiri, daging di dada....barah, atau berkah?

0 penconteng:

Post a Comment

 

Flickr Photostream

Twitter Updates

Meet The Author