Diluah mati emak, ditelan mati iman. | The Hikayat


"Antunna perlu bina diri dari sekarang. Jangan salahkan jahiliyah kalau zuriat yang lahir dari rahim antunna adalah perogol, penzina, pemimpin-pemimpin zalim." Tenang wajah umi bersuara.
Panas pipi. Rasa tertampar dengan ayat terakhir mas'ulah bulatan gumbira. Topik hari ini seputar soal walimah. Tarbiyatul awlad. Sesuai lah nak dibincang dengan cik-cik muda belia macam kami. Eh.

Ustazah Khairiah, atau selesa disapa umi oleh anak-anak halaqahnya mencerun merenung wajah kami satu persatu. Tajam, walau riak wajahnya terlakar tenang.

"Antunna ibu ummah. Antunna pilih lah nak jadi ibu kepada du'at berjiwa besar, atau ibu kepada perosak-perosak agama. Nah, jelas perkaitan tarbiyah zatiyah dengan baitul muslim ?" Soal umi. Adik-beradik seusrah hanya mampu mengangguk lemah. Dibelasah kata-kata umi, aku tak pasti kalau masih ada yang mampu berdiri.

Masing-masing melayan fikiran. Bulatan gumbira yang selalunya meriah dengan suara jadi sedikit 'beku' hari itu. Alhamdulillah, kalau masing-masing terkesan dengan penyampaian cik puan mas'ulah tadi maknanya masih ada iman.
Bukankah orang beriman itu bila dibacakan ayat-ayat chenta si Dia bergetar hati, bergoncang jiwa ?

Akhirnya suara Sharifah Najiha kembali menarik sedar. Selaku pengerusi hari itu, Najiha berkongsi sedikit resolusi kemudian menangguh majlis dengan bacaan ummul furqan dan kafaratul majlis. Fuhh. Usai pengisian, semua saling berpandangan. Memang lah, siapa tak terasa dengan ketajaman pedang dibalik bibir umi. Lunak suaranya tak mampu menghalang tajam lidahnya dari mengoyak hati anak-anak usrahnya. Berbisa.

"Minggu ni giliran siapa hidang? Cepatlah kalau semua termenung-menung gini lepas isya' nanti baru boleh balik." Fathymah Badruzzaman yang terkenal dengan keletahnya memecah sunyi. Masing-masing mengoyak sengih. Barulah beberapa orang bingkas bangun, teringat tugasan masing-masing. 
Begitulah saban minggu, halaqah bimbingan yang dikendalikan sendiri oleh guru-guru Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah akan dijalankan di tempat yang ditetapkan mas'ul/ah. Kami untung ber-ibukan Ustazah Khairiyah, faham-faham sahaja memang kaki anak-anaknya ringan nak melangkah keluar pagar MATRI. Lalu umi selesa halaqah mingguan diadakan dirumah beliau. Tak jauh mana dari pagar MATRI, tapi asalkan dapat keluar, semua tarik senyum sampai telinga. Heh. Dan agenda-suku-utama, tentu-tentu jamuan selepas pengisian! Hoyeah, dan masakan umi memang terkenal satu MATRI. *sengih-sengih*

-----------------------------------------------------------------

"Serius ana terasa dengan ayat umi petang tadi. Antunna rasa apa-apa ?", Maryam Nadiah, cik ro'isah bersuara. Automatik semua angkat muka. Ceh, berlakon tenung buku, padahal semua otak tak tau kat mana. Sama, serupa macam Mar, masing-masing ngilu telinga terdengar bunyi libasan pedang umi petang tadi.

Afifah Solehah memutar pen ditangan. Ada lah tu responnya. Dengan muka tenang setenang Tasik Chini di malam hari, "tak terasa lah sangat, sampai semua menung macam kena pukau lepas hq habis tadi. Hurm. Tak sangka kita dah besar, dah kena mula siapkan diri untuk walimah. Padahal tak tau bila, dengan siapa. Aigoo."

"Kita bukan baru 18, tapi dah 18. 18 tahun hidup, sebenarnya dah terlalu lama kita jadi 'orang biasa'. Sekaranglah kita kena reboot sistem tarbiyah zatiyah kita, kena upgrade ke tarbiyah jinsiyah pulak dah. Ambil sedikit masa replay perjuangan para ummahatul mukminin. Allah, jauhnya kita." Ayat IT Syahidah Shuib menari di telinga. Idah memang budak IT. Video, grafik, semua bagi dia. Bercakap pun memang stok ayat IT-komputer-processor.

Ahli kelas 6 Hussein tanpa disuruh bergerak ke tengah bilik prep. 'Landing time' ! Heh. Dengan bilangan 10 orang, bilik prep itu memang terlalu besar untuk diisi dengan sekadar meja study dan barang-barang mereka. Berjenamakan 'bilik prep', bilik itu sudah bertukar fungsi kepada 'dorm tak rasmi' mereka. Tikar bidang, water heater, segala jenis minuman, makanan segera, baju spare, kasut, semuanya serba lengkap dalam sebuah ruangan. Seperti malam-malam sebelumnya, tepat jam 10 malam, setengah jam sebelum prep tamat, memang semuanya akan bergelimpangan atas tikar. Malam ini masih begitu, cumanya mereka duduk berlaga bahu di tikar itu untuk saling berkongsi rasa. Semuanya gara-gara tajuk panas halaqah petang tadi. 

"Jangan salahkan jahiliyah kalau zuriat yang lahir dari rahim antunna perogol, penzina, pemimpin-pemimpin zalim." Tasnim menggumam rendah. Antara dengar dan tidak.

"Antunna ibu ummah. Antunna pilih lah nak jadi ibu kepada du'at berjiwa besar, atau ibu kepada perosak-perosak agama." Hidayah Syahira di sebelah menyambung ulang tayang bulatan gumbira mereka petang tadi. Cuma bezanya, dia mengulang dengan suara lantang. Cukup jelas untuk menerajang gegendang telinga 9 sahabatnya.

"Dayah !" Aha. Kalau Ning Baizura ada trio 3 suara, yang ni 3 kali ganda. 9 suara, pakej dengan lipat maut dan pandangan ... Iron Man. Heh.

"Okay, okay. Asif asif, my bad." Dayah mengalah. "Tapi betul sangat kan apa umi kata, kita ni leka dengan perangai budak-budak kita, rasa selesa dengan ilmu separa matang kita, we need to change. Now." Lembut Dayah menyusun bicara.

"Tapi betul lah, baguslah kita terasa gini, kalau kita tak terasa sampai bila pun perubahan takkan berlaku. Dalam tarbiyah ni, hati yang mudah terasa memang diperlukan. Terasa in a very positive way lah. Sensitif. Bukan yang mudah kecil hati, senang merajuk tu, Alhamdulillah lah. Da'ie ni kalau tak sensitif, macam mana nak sentuh hati kecil mad'u ? Kan ?" Sambung Syahirah, penuh hati-hati memilih kata.

Maryam melirik wajah sahabat-sahabatnya. Perlahan dia bersuara, "jadi from now onward, kita dah tahu apa peranan kita. Kita sepatutnya kenalpasti apa tindakan kita. Titik perubahan kita. Ana sendiri banyak lagi karat jahiliyah yang tak terkikis, tapi insyaAllah, ana janji ana cuba. Tinggalkan k-pop, movie game berlebihan, lagu-lagu yang mematikan jiwa, insyaAllah ana cuba.
Tapi bukan ana seorang je kena usaha, antunna pun kena janji, hari ini titik mula perubahan serius kita. Jangan duk terasa je tapi tak cuba come out dengan apa-apa usaha."

"Jom kita buat satu pelan rancangan masa depan nak ? Kita make sure, kita jelas siapa kita 10 tahun akan datang. So, dalam nak mencapai impian-impian kita tu, kita sendiri sedar lah perubahan apa yang kita perlu buat. Kita masing-masing berbeza kan, macam Mar kata tadi. Perubahan-perubahan yang dia perlu laksanakan tak semestinya sama dengan Jiha, Tasnim, siapa-siapalah. Kita perlu jadi wanita yang bagaimana untuk jadi zaujah yang bagaimana, kemudian ibu yang bagaimana." Afifah cuba positif. Responsif.

"Mestilah ibu sehebat ibu-ibu kita!" Jiha kenyit mata. Pecah ketawa masing-masing. Tanpa mereka sedar ada airmuka yang berubah.

"Dah dah, ketawa ketawa memang tak berjalan semua kerja. Jom mula." Afifah menarik sedar.

"JOM!" Sahut 9 orang penghuni bilik prep 6 Hussein. Masing-masing mencapai kertas A4 putih, dan mula melakar diri mereka 10 tahun akan datang.

Tepat 10.40 malam, masing-masing selesai dengan perancangan masing-masing.

"Esok kita share plan kita masing-masing. Baru lah boleh saling support. Kan kan ?" Fathymah memecah hening. Yang lain mengangguk setuju.

Afifah melirik senyum. Terlintas di benaknya hadith riwayat Abu Musa al-Asy'ari. Rasulullah mengumpamakan seorang Mukmin kepada Mukmin lainnya seperti batu-bata binaan. Sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.
Indah. Bertemu dan bersahabat kerana Allah.

Gema bacaan surah Al-Mulk sahabat-sahabatnya menampar lembut lamunannya. Afifah bingkas bangun mengambil naskhah al-Quran di mejanya kemudian menyertai bacaan sahabat-sahabatnya. Sepatutnya bacaan al-Mulk diadakan di dataran asrama setiap malam, tapi malam ini hujan. Semua pelajar diminta pulang setelah menyelesaikan bacaan al-Mulk di kelas masing-masing. Dan mereka, di bilik prep. Maklumlah senior.
------------------------------------------------------------------

Afifah gelisah. Degil benar matanya malam itu. Dipujuk sudah, dipaksa pun sudah. Tapi mata galaknya belum ada petanda mahu lelap. Puas terlentang, dia mengiring. Kemudian kembali terlentang, dengan tangan didahi.

"Ibu ? Kenapa pucat?"

"Ibu telah bersumpah dihadapan Lata dan Uzza, ibu tidak akan makan dan minum selagi kau belum kembali." 

"Andaikata ibu punya 99 nyawa, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, maka bersaksilah aku tidak akan tinggalkan Islam sama sekali !"

Tegas. Tegang. Afifah mencerun menilik pemilik suara itu. Mus'ab. Tak salah lagi. Mus'ab bin Umair, pemuda yang digilai seluruh Madinah saat zaman jahiliyahnya. Ada rupa, kaya, bergaya.

Pandangan Afifah kemudiannya tertancap pada seorang wanita tua. Pucat. Lesu tak bermaya. Perempuan itu nampak tidak bertenaga. Tangannya terketar, kesan tidak makan dan minum beberapa hari, mungkin.

Afifah berlari keluar dari rumah itu. Lututnya serasa longlai, dadanya seakan ditekan, akal dan jasad seakan pegun, tak mampu bekerja bersama. Airmatanya turun tanpa mampu ditahan-tahan. Laju berlari kepipi.

Rasa diterajang. Dia yang teguh menghidupkan Islam ditengah-tengah keluarga muslim sendiri bahkan tewas, sering mengeluh, rasa terbeban. Allahu Allah. Mus'ab lebih teguh menegakkan tiang syahadah tanpa kalah pada pujukan ibunya. Ibu. Wanita paling berjasa dalam sejarah kelahiran manusia. Hoyeah. Dan Mus'ab keras memilih Islam. Walau nyawa ibunya jadi taruhan. Dia peduli apa, dia lebih ghairah pada syurga dan isinya berbanding si ibu dan egonya.

Afifah bersandar lemah pada sebatang pokok. Telinganya menangkap bunyi derapan kaki. Bukan sepasang, akalnya menjangka ramai. Dia menoleh, sekumpulan lelaki arab sedang berbincang sesuatu sambil berjalan. 

“Bahkan aku sering mendengar Rasulullah memujinya. MashaAllah. Sering baginda ulang "segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya." Aku cemburu, cemburukan pengorbanannya yang berdarjat tinggi disisi Allah dan rasul-Nya." Tutur seorang lelaki. Yang lainnya cuma mendengar, tekun.

Airmata Afifah bercucuran. "Mus'ab, Mus'ab. Aku ikut cemburu." Afifah bermonolog.
Hinggut bahunya bercerita akan derasnya airmata seorang Afifah. Esakannya cukup mengisahkan perasaannya. Sakit. Disindir, diperli, dicemuh ibu sendiri yang juga seorang muslim. Dia hampir tumpas melawan kenyataan. Kenyataan yang dia berseorangan menyalakan lilin iman dalam keluarga yang dia cukup cinta. Sedang Mus'ab teguh berlari walau ibunya kuffar.
Afifah menangis dan menangis semahunya. Kepalanya seakan dihentak batu. Pandangannya mulai kabur...

"Afifah, bangun qiam." Lembut suara Khufyah menyapa telinganya.

"Afifah, bangun. Dah 4.25. Nak qiam sekali tak ?" Kali ini Khufyah mengusap pipinya. Afifah memaksa matanya celik. Samar-samar wajah seniornya kelihatan. 

"Anti menangis ? Anti mimpi apa ni Afifah ?" Seakan disapu air ke muka, Afifah segar tiba-tiba. Dia meraba pipinya. Basah. Dia menoleh, mencari lelaki-lelaki arab tadi. Kosong. Yang kelihatan cuma deretan loker, dan disebelahnya, juniornya Nusaibah sedang asyik berbuai dalam lena. Dorm masih gelap, memang selalunya lampu dorm dibuka hanya setelah jam 5 pagi.

"Dah Afifah, bangun, istighfar banyak-banyak. Mimpi ni macam-macam. Mungkin mainan syaitan. Entahlah. Anti lebih tahu, anti tidur dalam keadaan macam mana semalam. Ana ke musolla dulu, cepat ye." Matanya menangkap senyuman Khufyah. Dilirik jam pemberian arwah abangnya, sudah 4.30 pagi. Memang saban hari dia bangkit seawal itu, mencari ruang bermanja dengan Pemilik Segala Cinta.

Dan dinihari itu jadi saksi, Afifah Solehah berjanji pada dirinya sendiri akan teguh memijak bara api, walau nyawa jadi galang ganti, dia akan teguh berpegang pada tali yang tidak akan putus selamanya. Tali Allah.
Musolla itu jadi saksi seorang Afifah menyungkur sujud, meluah selaut syukur atas semangat yang dikirim Tuan Iman pada lenanya.
Allahu Allah, perjalanannya mencari syurga masih berbaki seumur hayatnya. Entah berapa tahun lagi, berapa hari lagi, berapa saat lagi perjalanannya perlu ditamatkan. Hatinya cuma mengharap Allah sudi mengirim kesempatan...

0 penconteng:

Post a Comment

 

Flickr Photostream

Twitter Updates

Meet The Author